Sunday, April 27, 2014

Cukup ke?

Apa yang cukupnya?


Mari tadabbur surah al-Hujurat ayat 14 dan 15


Maksudnya : “Orang-orang Arab Badwi berkata; ‘Kami telah beriman’. Katakanlah (wahai Muhammad); ‘Kamu belum beriman’, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja; ‘Kami telah Islam’. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah Rasul-Nya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Hujurat:14)

“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (Al-Hujurat:15)

Ayat ini mengisahkan orang Arab Badwi telah masuk agama Islam dan mengaku diri mereka adalah mukmin. Siapa sebenarnya orang ini?

Arab Badwi adalah orang Arab yang tinggal di luar Mekah. Berbeza dengan Arab Hadhari, mereka tinggal jauh dari bandar dan hidup secara nomad. Antara contoh Arab Badwi ini ialah Bani Ghifar, kaum Abu Zhar Al-Ghifari.

Mereka masuk Islam atas sebab Islam ketika itu sudah naik. Jadi, demi menjaga kepentingan diri mereka sendiri seperti untuk tidak perlu membayar jizyah, mereka berjumpa Rasulullah s.a.w untuk memeluk agama Islam. Peliklah semua orang di kawasan tanah Arab sudah memasuki Islam, mereka tidak lagi. Jadi, erti kata lain mereka hanya mengikut majoriti.

Setelah mereka mengucap syahadah di hadapan Rasulullah, mereka pun pulang dan sambung melakukan kerja seharian mereka. Eh, macam tu saja? Mereka balik tanpa mengamalkan apa yang Islam suruh buat. Tak hairanlah sebab mereka sendiri tak mahu belajar dulu daripada Rasulullah apa itu Islam.

Iman itu dibuktikan melalui 3 cara. Pertama, mengucap syahadah melalui lisan. Kedua, mengakui Islam dengan hati. Dan ketiga, perbuatan yang menunjukkan kita patuh pada Islam. Kalau kita hanya buat yang pertama dan kedua, samalah kita dengan Arab Badwi tadi ataupun fasiq. Kalau kita buat yang pertama dan ketiga sahaja? Itu namanya MUNAFIQ. Persoalannya ialah adakah kita seperti Arab Badwi? Cukup saja untuk menjadi muslim? Tak mahu capai tahap beriman? Sedangkan Allah banyak menyebut ganjaran-ganjaran bagi orang yang beriman. Wallahu'alam.






No comments:

Post a Comment