![]() |
WOLLATON PARK, NOTTINGHAM |
Angin damai perlahan-lahan membaluti tubuh.
Awan pula tenang bergerak merentasi langit.
Langit yang terbentang luas pula memberi satu harapan,
Bahawa hujan yang dinanti-nantikan itu bakal tiba.
Turunnya hujan membasahi bumi,
Menghidupkan tumbuhan yang melata,
Membawa sinar cahaya dan satu nafas baru kepada hidupan di bawah.
***
30:48 - "Allahlah yang mengirimkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dia kehendaki dan menjadikannya bergumpal-gumpal, lalu engkau lihat hujan keluar dari celah-celahnya, maka apabila Dia menurunkannya kepada hamba-hambaNya yang dia kehendaki, tiba-tiba mereka bergembira."
***
"Tiba-tiba mereka bergembira"
Gembira dan tenang melihat pemandangan itu.
Kenapa?
Sebabnya tiada orang yang tak pernah suka memandang langit.
Sangat sinonim di kala keserabutan melanda, hidup tak tentu arah, stress dengan manusia, dengan urusan dunia yang tidak pernah berhenti;
Alam lah yang menjadi tempat kita melepaskan rasa,
Medan untuk menghilangkan segala kekusutan di fikiran.
Luasnya langit ibarat memberi satu harapan bahawa,
Segala masalah yang dihadapi itu pasti akan hilang,
Dengan menyakini adanya Allah.
Adanya Allah yang akan memudahkan segala perjalanan kita.
Kerana Dialah yang telah menghidupkan tumbuhan yang kita kira sudah mati tadi.
Lantas, Dia jua lah tempat untuk kita memohon kekuatan untuk meneruskan hidup ini.
Sepertimana Allah memudahkan angin untuk menolak gumpalan awan yang sangat besar dan berat itu.
Dan Allah akan kirimkan kekuatan itu tepat pada masa yang kita perlukan,
Sepertimana Allah mengarahkan awan untuk menurunkan air hujan di tempat yang telah ditetapkan sahaja.
***
30:49 - "Padahal dahulunya, sebelum hujan diturunkan kepada mereka, mereka benar-benar telah berputus asa."
***
Benar. Kita akan diuji ke satu tahap yang tak disangka-sangka.
Tahap yang paling atas yang kita rasa kita tidak mampu pun untuk menghadapinya.
Tahap yang sangat menguji ketahanan dan kesabaran.
Sehinggakan kita mula bersangka buruk kepadaNya,
Dan mula menyoal "Dimanakah pertolongan Allah?"
***
30:50 - "Maka perhatikanlah pada bekas-bekas rahmat Allah, bagaimana Allah menghidupkan bumi setelah ia mati (kering). Sesungguhnya, itu beerti Dia pasti (berkuasa) menghidupkan yang telah mati. Dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.
***
Maka lihatlah, dengan izin dan kuasaNya:
Tumbuhan yang hanya tinggal ranting,
Daun-daun yang kering berguguran,
Matahari yang mula membenamkan diri lebih awal,
Dan malam yang mula mendominasi hari itu;
Bakal digantikan dengan satu fasa yang lebih menenangkan,
Spring time.
Musim yang sangat disenangi oleh semua makhluk.
Musim yang mewarnai hidup.
Musim yang menceriakan suasana.
Musim yang menggembirakan hati.
Gembira sebagaimana turunnya air hujan tadi.
Cumanya,
Hanya kesabaran yang diperlukan,
Sebelum tibanya 'musim' yang menggembirakan itu.
Sepertimana Allah telah berfirman:
"Apakah manusia mengira mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan "Kami beriman," dan mereka tidak diuji?" (29:2)
Oleh itu,
Percayalah harapan itu masih ada.
Yakinlah bahawa kita mampu mengharunginya.
Dan ketahuilah Allah tidak pernah salah percaturanNya.
Serta jadilah seperti awan dan langit,
Yang menyebarkan harapan kepada semua orang,
Bahawa Allah itu Maha Berkuasa untuk apa sahaja.
❤
-UA-
No comments:
Post a Comment